KIRA-kira
setahun lalu, pendakwah dan penyampai rancangan kuliah interaktif 30
minit Ustaz Don di TV Alhijrah, Don Daniyal Don Bijayid, 28 telah
dipertemukan dengan seorang pelajar jurusan perubatan Universiti
Kaherah, Mesir.
Gadis bernama Husna Mohd Zahry, 24 ternyata telah
menawan hati ustaz yang begitu tinggi keperibadiannya. Bertitik tolak
daripada itulah, kedua-dua belah keluarga telah mengikat kata sepakat
untuk menyatukan mereka dalam ikatan pertunangan.
Tertib
pertunangan dipelihara dengan sebaiknya sehingga tidak ramai yang
menyedari akan berita pertunangan Ustaz Don yang memang cukup terkenal
ini.
Dalam pada itu, rutin harian sebagai pendakwah diteruskan
seperti biasa malah dilaksanakan oleh ustaz yang penuh kerendahan hati
dengan sebaik-baiknya. Begitu juga dengan tunangannya tetap meneruskan
tanggungjawab sebagai pelajar dengan penuh khusyuk.
Tanggal 23
Ogos 2012 bersamaan 5 Syawal 1433H selepas Asar dalam suasana serba
sederhana di kelilingi ahli keluarga kedua-dua belah pihak pengantin,
Ustaz Don akhirnya dinikahkan dengan tunangannya.
Majlis
pernikahan berlangsung di rumah keluarga pengantin perempuan di Taman
Jelita Kuala Sungai Pinang Balik Pulau oleh bapa pengantin perempuan,
Haji Sr Mohd Zahry Shaikh Abdul Rahman di hadapan jurunikah Pejabat
Agama Daerah Barat Daya Balik Pulau, Ustaz Tuan Haji Saat.
Enggan dedah kisah pertemuan
Ternyata
Ustaz Don lebih senang tidak mendedahkan kisah cinta mereka kepada
umum. Malah ketika ditanya tentang pertemuan mereka, dirinya memaklumkan
biarlah kisah mereka berdua menjadi rahsia antara mereka.
“Perjumpaan, biarlah rahsia. Ia berlaku lebih daripada setahun,” tutur Ustaz Don ringkas.
Sungguhpun
demikian, dia sudi berkongsi kegembiraannya dengan para hadirin yang
bertandang ke majlis pernikahan dan resepsi pengantin perempuan di Dewan
PKK Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 1
September yang lalu.
“Perasaan saya ketika ini, seronok.
Alhamdulillah. Cuma kenduri ini diadakan selepas akad seminggu yang
lalu. Secara jujurnya, sepanjang seminggu ini perasaan takut itu masih
ada dalam diri saya.
“Saya sentiasa mendoakan agar perasaan takut
itu sentiasa kekal di dalam diri saya kerana saya tahu saya sudah
mempunyai satu tanggungjawab yang besar. Yang mana, syurga isteri saya,
syurgalah untuk saya,” tutur pensyarah KUIS ini ketika ditemui di majlis
resepsinya.
Bagi mempersiapkan diri menjadi seorang suami yang
bertanggungjawab, beriman dan bertakwa Ustaz Don sentiasa berusaha untuk
memperbaiki dirinya dengan mendalami kitab-kitab agama yang berkaitan.
“Perkara
pertama yang perlu ada dalam perancangan untuk diri saya sendiri dan
keluarga saya adalah kami perlu mendalami banyak lagi kitab-kitab. Saya
mahu supaya pada masa hadapan saya akan lebih mendalami bidang agama.
“Tambah
pula, selepas saya berada dalam dunia ini iaitu di alam perkahwinan,
barulah saya nampak aspek mana yang sepatutnya saya perlu beri
perhatian,” sambung Ustaz Don yang bakal menunaikan haji pada bulan
Oktober nanti manakala isterinya pula akan terus menyambung pengajian di
Mesir.
Dalam pada itu, Ustaz Don turut mengakui bahawa cabaran
rumah tangga yang bakal dialami adalah sama sebagaimana cabaran
perkahwinan yang akan dialami oleh pasangan yang lain.
Husna mahu selalu di samping suami
Menjadi
isteri individu terkenal pastilah sedikit sebanyak akan membuatkan
isterinya turut terkena tempiasnya. Ketika ditanya tentang reaksi Husna
saat berhadapan situasi sebegitu, wanita pemalu ini jujur mengakui
dirinya akan cuba menabahkan hati.
“Saya akan tabahkan hati dan dalam apa juga situasi saya akan selalu ada di samping suami saya,” tuturnya lembut.
Barangkali
tidak biasa dengan situasi temu ramah yang melibatkan wartawan dan
jurugambar, Husna kelu bila ditanya tentang sifat istimewa suaminya.
Sebaliknya
dia hanya melemparkan senyuman sebelum ditenangkan oleh suaminya sambil
memaklumkan, isterinya itu malu dan tidak biasa dengan situasi
sebegitu.
“Setiap orang ada keistimewaan yang tersendiri. Saya
cuma boleh kata Alhamdulillah,” balas Ustaz Don saat menerangkan
pertanyaan mengenai ciri-ciri istimewa yang ada pada isterinya itu.
“Firman
Allah, jika Dia hendak memberi rezeki Dia akan beri dan tidak mengira
siapa. Wallahualam,” sambungnya ketika ditanya soal cahaya mata.
Pada
hari itu juga, Ustaz Don dan isterinya Husna sempat mengucapkan ribuan
terima kasih kepada mereka yang sudi datang meraikan kegembiraan bersama
dengannya.
“Cuma satu pesanan saya, tolong doakan kami, kerana
boleh jadi doa salah seorang daripada kita akan dimakbulkan Allah. Saya
sendiri tidak tahu sama ada doa saya atau siapa akan dimakbulkan. Jadi,
hantarlah doa kepada kami dan sekalian kaum muslimin yang ada.
Insya-Allah, mudah-mudahan zuriat orang Islam akan semakin bertambah
dalam keadaan bertakwa kepada Allah S.W.T,” ucapnya penuh kerendahan
hati.
No comments:
Post a Comment